BUKAN calang-calang penyanyi diberi peluang beraksi di pentas hiburan eksklusif seperti Planet Hollywood Kuala Lumpur.
Selain bertaraf penghibur, mereka juga perlu memiliki kelebihan beraksi secara ‘live' dan mampu menarik perhatian pengunjung yang rata-rata dahagakan persembahan pada malam minggu.
MANTAP...kehebatan vokal Hazami tidak dapat nafi kan meskipun picthing suaranya beberapa kali tergelincir.Difahamkan Hazami baru baik dari demam.
Antara penyanyi yang memenuhi kriteria itu penyanyi dan komposer berbakat besar yang meraih populariti menerusi lagu Sonata Musim Salju, Hazami.
Hazami, 31, yang terkenal dengan daya kreatif dan vokalnya yang hebat juga bukan nama asing di Planet Hollywood.
Kali pertama, Hazami beraksi di Planet Hollywood pada 2001. Ketika itu, dia berkongsi pentas dengan penyanyi Dayang Nurfaizah.
Menyusul selepas itu, Hazami menjadi artis undangan pada persembahan Sunday Nite Live (SNL) eksklusif penyanyi Misha Omar dan Siti Sarah pada Julai 2003.
Justeru, selepas diva Rock tanah air, Ella, nampaknya kini giliran Hazami pula untuk menghangatkan Planet Hollywood Kuala Lumpur malam esok.
Ketika dihubungi, pemenang Anugerah Juara Lagu 2006 menerusi kategori Persembahan Terbaik (Mungkir Bahagia) ini berkata, dalam showcase yang dinamakan “A Night Of Vocal Extravaganza” itu, dia menjanjikan yang terbaik buat peminatnya.
“Sekalipun tidak cukup rehat, saya giat berlatih bersama kumpulan koirnya, Music & Vocalz (mengiringi persembahan) bagi memastikan showcase kami malam esok diingati peminat.
“Dari segi repertoire lagu, saya akan menyampaikan lagu popular dari album terdahulu dan juga album baru.
“Saya berharap peminat tidak akan melepaskan peluang menyaksikan showcase saya ini kerana ia hanya satu malam saja. Bukan saya tidak ingin buat dua malam tapi agenda seni begitu padat ketika ini.
“Maklumlah, dulu orang tidak kenal saya, sejak kebelakangan ini tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan termasuk buat lagu untuk artis lain,” katanya.
Lebih menarik, Hazami tidak bersendirian kerana untuk showcase ini dia mengundang ‘soul friendnya' yang terdiri daripada Siti Sarah, Nikki dan Amylea (AF) sekali gus menyemarakkan lagi showcase malam esok.
Tidak ketinggalan, Dayang Nurfaizah dan pendatang baru, Fazli Zainal.
Dalam tempoh kariernya hanya enam tahun, pelbagai anugerah sudah diraih Hazami.
Antaranya, Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003 dan Artis Lelaki Baru Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003).
Single popularnya, Kata meraih Lagu Pop Rock Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 2005.
Selain dua albumnya meraih kejayaan, Hazami juga memiliki reputasi antara salah seorang guru vokal terbaik ketika ini.
Showcase Hazami bemula jam 10.30 malam. Bayaran masuk RM40, termasuk satu minuman. Keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-2144-6602.