Hazami tawan Planet Hollywood

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

JANGAN mempertikaikan lagi kemampuan penyanyi bernama Hazami. Ini kerana semuanya sudah terbukti. Dia antara penyanyi lelaki tanah air yang memiliki kekuatan vokal tersendiri.

Malam Ahad lalu, Hazami diberi peluang menghiburkan para peminatnya di Planet Hollywood Kuala Lumpur.

Tidak seperti pertunjukan penyanyi-penyanyi lain yang berpeluang mengadakan persembahan dua kali dalam tempoh sebulan, untuk Hazami cuma satu malam sahaja.

Lantaran dianggap eksklusif, peminat-peminat penyanyi berusia 32 tahun itu bersesak-sesak di pusat hiburan itu.

Hazami atau nama sebenarnya Nor Kamal Hazami Ahmad tidak perlu berceloteh yang bukan-bukan dengan penontonnya. Tampil dengan pakaian kasual yang ringkas, persembahan Hazami cukup menarik. Memang tepat dan layak diberikan Anugerah Juara Lagu (AJL) bagi kategori Persembahan Terbaik (awal tahun ini) dan Vokal Terbaik (tahun lalu).

Kata, lagu yang dipetik daripada album pertama disampaikan Hazami sebaik muncul di pentas.

Jelas tergambar keseronokan di wajah penyanyi kelahiran Pulau Mutiara itu.

“Saya tidak berasa takut lagi apabila melihat kehadiran anda semua. Terima kasih,” katanya diiringi sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.

Malam indah itu, Hazami melontarkan vokalnya ke peringkat paling maksimum membuatkan penonton tidak berganjak dek kerana perasaan yang dibuai.

Begitu juga dengan komunikasi Hazami menerusi pandangan mata dengan peminat-peminatnya. Malah penyanyi berfizikal sederhana ini tidak segan turun bersalaman dengan penonton sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan.

Yang pasti, setiap lagu yang dialunkan, Hazami tidak keseorangan. Penonton sentiasa bersama-sama sambil melambai tangan terutamanya lagu Mungkir Bahagia.

Lagu Inggeris turut menjadi pilihan Hazami apabila Vanishing, Hero dan Stand By Me bergema di pusat hiburan eksklusif di ibu kota malam itu.

Lagu-lagu popular Hazami antaranya Sonata Musim Salju dan Tekad Redha Tabah tidak dilupakan. Malah penyanyi yang memiliki ijazah kejuruteraan dalam bidang rekaan industri dari United Kingdom ini sempat membuat penghargaan buat komposer Azlan Abu Hassan melalui lagu Fantasia.

Bagaimanapun paling menarik ialah kata-kata Hazami sebelum menyampaikan lagu-lagu dari seberang.

“Saya nak minta izin nyanyi lagu Indonesia, boleh tak?” tanya Hazami yang disambut jeritan penonton isyarat setuju. Lantas lagu-lagu seperti Kenangan Terindah, Tak Ada Logika dan Pencinta Wanita dihidangkan kepada penonton.

Hazami turut berdendang dengan penonton menerusi lagu Harapan, Ayuh (lagu baru) dan medley Dalam Diam, Diari Cinta Kita dan Jadi Pilihan.

Namun Hazami kempunan berduet dengan Dayang Nurfaizah untuk lagu Coretan Cinta.

“Dayang sudah sampai ke? Belum? Tidak apalah. Terpaksa saya menyanyi seorang,” katanya dalam nada sedikit ralat.

Yang menariknya Hazami berkesempatan mengajak ‘dreamgirls'nya iaitu

Sarah, Amylea dan Nikki menyanyikan lagu-lagu yang diciptanya.

“Segalanya indah ketika bekerja dengan anda semua,” ujarnya merendah diri kepada tiga dara pingitan itu.

Mengakhiri persembahan ketika angka jam menghampiri 1 pagi, penyanyi yang terkenal dengan sifat santunnya memohon maaf atas segala kesilapan diri sepanjang dua jam menghiburkan penonton.

 


SUMBER : Utusan Online
 

[ arkib berita ]

Copyrights 2006, 2007 Music & Me Entertainment , All Rights Reserved.
No Unauthorised Duplications Of Materials