Hazami, Adibah balas jasa wartawan

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
MATA pena lebih berbisa dan tajam daripada sebilah pedang. Kesan mata pena juga boleh merubah keadaan dunia. Namun, tugas pengamal media bukan setakat melaporkan tetapi tanggungjawabnya lebih besar daripada itu agar apa yang dilaporkan memberi manfaat kepada masyarakat.

Justeru, bagi menghargai jasa wartawan yang bertugas tanpa mengenal waktu, bertempat di Ballroom, Hotel Istana Kuala Lumpur, Selasa lalu Malaysian Press Institute (MPI) menganjurkan Malam Anugerah Wartawan. Majlis erprestij itu anjuran bersama penaja utamanya, Petronas.

Majlis anugerah itu diserikan dengan persembahan Adibah Nor dan Hazami. Hazami yang tampil bersama kumpulan koir daripada pelajar sendiri, menyanyikan empat lagu termasuk Kata, Tekad, Mungkir Bahagia dan lagu baru, Ayuh.

Adibah pula mempersembahkan lagu Bahtera Merdeka, Ikan Di Laut Asam Di Darat dan Bila Rindu.

Dua penghibur ini berasa cukup bertuah kerana diundang menyanyi pada majlis itu, ketika yang baik untuk Adibah dan Hazami menghargai sokongan media terhadap kerjaya seni mereka selama ini.

Menurut Adibah, dia megah dapat membuat persembahan di depan wartawan yang kini menjawat jawatan tertinggi di akhbar masing-masing.

“Bukan senang hendak berjumpa dengan ketua pengarang akhbar. Tanggungjawab mereka bertambah besar dan banyak perkara yang perlu ditangani. Lagipun setahu saya, mereka juga perlu berbincang dengan pemimpin negara apabila ia membabitkan isu dalam dan luar negara.

“Apabila ada pelancaran album dan sebagainya, anak buah mereka yang akan membuat liputan. Saya bertuah dan bersyukur kerana selama saya menjadi artis hubungan saya dengan wartawan hiburan tetap baik.

“Ada juga terjadi apabila keluar berita dalam akhbar atau majalah, artis menyalahkan wartawan. Bagi saya itu tidak adil dan tidak harus terjadi. Kalau kita tidak buat salah, kenapa kita perlu ambil hati dengan penulisan wartawan.

“Jangan cepat sangat menyalahkan wartawan, kerana baik artis mahu pun wartawan, masing-masing ada tugas yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, kita perlu faham tugas masing-masing.

“Apa pun kita perlu bersikap profesional dan artis jangan cepat melenting. Gosip 'permainan' hidup artis. Jika hendak menjadi artis anggaplah gosip itu sebahagian daripada rencah kehidupan mereka.

“Tetapi jika kita tidak membuat perkara salah, kenapa perlu takut dengan bayang-bayang sendiri. Sesungguhnya artis Malaysia bernasib baik kerana wartawan negara ini masih berpegang kepada etika kewartawanan,” katanya.

Tambah Adibah lagi, jika di Hollywood setiap langkah anda diekori. Perlakuan buruk artis didedahkan tanpa belas kasihan kerana mereka berlumba-lumba untuk mendapat berita terkini dan sensasi.

Jelasnya lagi, di negara ini pun wartawan berlumba juga mendapatkan 'scoop' tetapi mereka masih mempunyai batas sempadan.

“Usaha kita perlu terlalu jauh sehingga ke Hollywood, artis Indonesia sendiri kurang senang dengan sikap wartawan negara mereka. Segala hal peribadi dan keluarga disingkap tanpa tapisan.

“Sekurang-kurangnya wartawan tanah air masih tahu cerita yang mana perlu dan tidak perlu disiarkan. Jadi, artis perlu menghargai usaha wartawan memberikan publisiti untuk mereka.

“Selain itu juga, belum ada wartawan bersikap kurang ajar dengan saya dan saya juga tidak pernah berkecil dengan mereka.

“Seperti saya katakan tadi, jika tidak mahu menjadi mangsa fitnah dan gosip, jagalah budi pekerti dan perilaku dengan baik. Jangan asyik hendak menyalahkan orang lain,” katanya.

Hazami pula berkata, dia amat berbesar hati mendapat undangan daripada MPI kerana tanpa sokongan media, mustahil dia mampu menempa kejayaan seperti hari ini.

“Saya sedia bekerjasama dengan media dan inilah masa terbaik saya melakukan sesuatu sebagai tanda terima kasih saya kepada semua wartawan. Artis dan wartawan sama-sama memerlukan dan biarlah kerjasama baik antara saya dengan wartawan berpanjangan.

“Semoga dengan adanya anugerah seperti ini menyemarakkan lagi semangat wartawan untuk terus aktif dan kreatif dalam kerjaya mereka,” katanya.

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas itu tambah bermakna dengan kesudian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir ke majlis itu dan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Malam itu, Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Akmal Abdullah memenangi anugerah Kewartawanan Hiburan menerusi rencana bertajuk Lelaki Komunis Terakhir, manakala Faridul Anwar Farinordin menang anugerah kategori sama untuk rencana dalam bahasa Inggeris berjudul Cinema, Cinema, Cinema: Oh, Where Have They Gone.

Berita Harian turut menerima hadiah sagu hati Anugerah Kewartawanan Sukan yang dikongsi bersama empat wartawannya, Ahmad Khawari Mohd Isa, Ahmad Zairee Mohd Zahir dan Norbakti Alias.

Hadir sama pada malam anugerah itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican, Pengerusi MPI, Datuk Azman Ujang, Timbalan Pengerusi MPI, Datuk Chamil Wariya dan Setiausaha/Bendahari MPI, Mustapha Omar yang juga Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad dan ahli jawatankuasa MPI.

 

SUMBER : Harian Metro
 

[ arkib berita ]

Copyrights 2006, 2007 Music & Me Entertainment , All Rights Reserved.
No Unauthorised Duplications Of Materials