Zon Muzik...



Berita Harian
ALBUM: Nyata
ARTIS: Hazami
GENRE: Pop R&B

IMPIAN besar Hazami untuk melihat album ketiganya membawa sesuatu yang berbeza kepada industri rakaman direalisasikan menerusi album, Nyata. Harus diakui, Nyata antara produksi terbaik pernah dihasilkan penyanyi ini malah Hazami meneroka segala kelebihan lalu dicurahkan dalam penerbitan album berkenaan.

Dari segi pemilihan lagu, penyampaian malah susunan muzik, Nyata tampil lebih kemas dan Hazami semakin berani menonjolkan karakter vokalnya yang pelbagai.

Untuk menyatakan Nyata menterjemahkan sesuatu yang baru daripada Hazami, tidak juga. Cuma penyanyi yang meledak dengan lagu saduran, Sonata Musim Salju ini menggabungkan formula yang pernah dihasilkannya menerusi dua album terdahulu lalu disatukan membentuk Nyata.

Hasilnya? Percubaan Hazami berjaya malah Nyata hadir dengan segala pakej yang diinginkan peminat daripada guru vokal ini. Usah diragui kerana Hazami meneroka segala kelebihan yang ada pada kekuatan vokalnya lalu diserlahkan dengan keyakinan pada album ini.

Daripada trek sederhana rancak, Ayuh membawa kepada Tiada Dikau Tiada Daku, Kata Cinta Madah Dusta, Fikir, Restu dan Tidak Mungkin, album ini mencerminkan kematangan Hazami.

Pengetahuannya yang luas dalam bidang muzik turut membantu Hazami untuk menentukan hala tuju album ini. Disebabkan sebahagian besar lagu adalah ciptaannya, Nyata yang turut menampilkan dua komposer lain iaitu Azlan Abu Hassan dan Audi Mok, sesekali telinga anda akan terkesan kepada formula yang sedia dipakai oleh penyanyi ini.

Paling jelas pada lagu Sepi kerana ia mengingatkan kepada lagu Mungkir Bahagia.

Kata Hip:

PERCUBAAN yang mengesankan kerana Hazami lebih berani untuk menonjolkan karakter dirinya yang sebenar. Tahniah kerana dia sudah yakin untuk keluar dari kepompong ketakutan yang pernah membelenggu dirinya dan menjadi Hazami yang kreatif dan kaya dengan idea hebat. Produksi yang berbaloi untuk dimiliki.

SUMBER : Berita Harian - 15 Nov 2007
 

[ arkib berita ]

Copyrights 2006, 2007 Music & Me Entertainment , All Rights Reserved.
No Unauthorised Duplications Of Materials