Soseh-soseh: Album bagus tiada promosi
SELEPAS Anuar Zain, penerbitan album tempatan yang SS rasakan bagus dan berkualiti tahun ini menjadi milik Hazami yang muncul dengan album Nyata, kira-kira sebulan lalu.
Itulah pujian yang diberikan rakan SS kepada penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Kata dan Mungkir Bahagia ini.
Kata rakan SS, lagu yang dihasilkan dalam album terbarunya ini sangat 'groove' dan 'up to date' tanpa mengetepikan selera pendengar tempatan. Single keduanya, Kata Cinta Madah Dusta kini sering diputarkan di radio.
Rakan SS itu juga menggemari lagu Bukan Igauan, Ayuh, Tiada Dikau Tiada Daku, Restu, Fikir dan Tidak Mungkin. Pendek kata, semua lagu yang dimuatkan dalam Nyata bagus-bagus belaka.
Malah rakan SS ini siap kempen lagi mengatakan memang berbaloi membeli albumnya. Katanya, apa yang lebih membanggakan, album ini membabitkan produksi tempatan 100 peratus.
Cuma apa yang dikesalkan rakan SS itu, mengapa produk berkualiti seperti Nyata tidak dipromosikan syarikat rakaman. Sebabnya, sampai sekarang tiada wakil syarikat rakaman tempat Hazami bernaung membawanya mengadakan sesi fotografi bersama media ataupun majlis pelancaran albumnya.
Kata rakan SS, dia difahamkan album itu juga belum diedarkan kepada wartawan hiburan untuk diuar-uarkan. Katanya, syarikat rakaman seharusnya lebih peka dan mengambil berat produk tempatan kerana syarikat yang dinaungi Hazami bukan calang-calang.
SS sokong kata-kata rakan itu. Kalau sanggup berhabis wang usung artis luar masuk sini, apa salahnya buat satu majlis pelancaran meraikan kemunculan album artis tempatan. Mengapa tunggu jualan meletup baru hendak keluar bajet untuk promosi?
Kan lebih baik keluarkan sedikit lagi bajet untuk promosi supaya album itu diketahui ramai dan jualannya juga meletup. Barulah mereka untung dan artis juga dapat imbuhannya.
Bagi SS, Hazami antara artis tempatan yang patut dibanggakan kerana bakat nyanyiannya dan penciptaan lagu. Dia bukan sekadar menyanyi malah cipta lagu, buat lirik dan terbitkan album sendiri.
Hazami juga sudah membuktikan karyanya bagus apabila diiktiraf juri Anugerah Juara Lagu dua tahun berturut-turut melalui Kata dan Mungkir Bahagia.
|